Monday, November 24, 2008

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah diwujudkan bagi mengisi dengan segera kekosongan jawatan guru berijazah di sekolah-sekolah. Menariknya peluang ini terbuka untuk semua pemegang ijazah dari pelbagai bidang dan tidak terhad kepada mereka yang mempunyai ilmu dalam bidang pendidikan sahaja.

Pelbagai isu timbul seperti bila mana ramai mereka yang memiliki ijazah dalam bidang pendidikan di universiti tempatan merasa terkilan kerana peluang untuk mereka memperolehi tempat di sekolah-sekolah jauh lebih rendah berbanding dengan lepasan KPLI. Ini amat mengecewakan bagi mereka kerana setelah bersusah payah menimba ilmu di dalam bidang pendidikan mereka tidak mendapat peluang sebaik lepasan KPLI yang pada asalnya tidak berkaitan langsung dengan bidang pendidikan.

Ramai juga yang mempersoalkan kredibiliti lepasan KPLI yang hanya setahun menimba ilmu yang sudah tentunya tidak cukup untuk melengkapkan diri menjadi seorang guru. Ini kerana guru bukan hanya menyampaikan tetapi mendidik. Sesuatu yang tidak dapat lari dari pemikiran kebanyakan orang ialah mereka memilih bidang perguruan sebagai langkah terakhir setelah sukar mencari kerja.Benarkah begitu?

Sebahagiannya mungkin jawapannya ya tetapi pastinya bukan semua. Ramai juga yang melihat bidang perguruan sebagai bidang yang sesuai dengan jiwa dan ini pastinya bagi kebanyakan wanita. Atau inilah bidang yang mereka inginkan sejak dari dulu tetapi tidak dapat ditunaikan kerana tidak memperolehi peluang tersebut pada mulanya. Walau apa pun alasan mereka apabila mereka telah melangkah ke bidang ini, pujian patut diberkan kerana mereka sanggup untuk menggalas tugas yang amat besar amanahnya ini. Langkah mereka di sekolah patut diiring dengan dorongan dan motivasi serta doa semoga mereka berjaya melalui cabaran getir sebagi pendidik.

Kepada bakal pendidik graduan KPLI, tugas guru bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Tugas mendidik manusia bukannya mudah ditambah pula dengan bebanan tugas lain yang melata di sekolah. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil secara lewa.
Buktikan anda adalah insan terpilih untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Anda akan berdepan dengan cabaran dunia pendidikan yang memerlukan komitmen dan kemahuan yang tinggi. Syabas dan semoga berjaya!

No comments: